ULASAN ISU:
PELAKSANAAN DASAR MBMMBI;
TAWARAN BARU
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA.
1.0 Pengenalan
Sistem pendidikan negara Malaysia telah
melalui evolusi yang melibatkan satu tempoh yang amat panjang. Bermula sejak
tahun sebelum tercapainya kemerdekaan sehingga tahun 2012 ini. Melihat kepada
sejarah perkembangan pendidikan di Malaysia khususnya, banyak perubahan dan
pembaharuan yang dilakukan demi menghasilkan satu sistem pendidikan yang
mencakupi aspek-aspek yang digariskan dalam falsafah pendidikan kebangsaan
iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Najeemah Md. Yusof (2006)
menyatakan pendidikan dianggap sebagai proses dan hasil interaksi yang
berterusan antara individu dengan rangsangannya serta motivasi dalam
persekitaran dan masyarakatnya.
Perubahan dan penambahbaikan sentiasa
dilakukan terhadap program-program yang ditawarkan oleh kementerian pelajaran
Malaysia demi mencapai kualiti pendidikan yang diimpikan. Perubahan merupakan satu
tuntutan demi menjamin kelangsungan fungsi pendidikan sebagai ejen pembangunan
masyarakat dan negara. Oleh itu, tidaklah menjadi satu yang luar biasa jika
program yang ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia seringkali berubah
demi penambahbaikan kepada sebuah proses yang dinamakan pendidikan.
Dasar pengajaran dan pembelajaran PPSMI
yang telah dilancarkan oleh kerajaan sejak tahun 2003 yang lalu telah melalui
satu perjalanan panjang yang pastinya mempunyai kesan positif dan negatif
terhadap pembangunan pendidikan amnya serta pencapaian akademik murid-murid
khususnya. Namun, pelaksanaan dasar ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik
dan pencapaian murid dalam matapelajaran Sains dan Matematik juga berada di
tahap yang rendah. Berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran
Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi jawapan beliau terhadap temu
bual dalam program Soal Jawab terbitan TV3 seterusnya menerusi paparan akhbar
Berita Harian bertarikh 11 November 2011, beliau menyatakan bahawa kajian yang
dibuat oleh beberapa badan termasuk universiti dan pensyarah dan daripada
kajian itulah kita dapati memang benar berlaku dan PPSMI tidak berjaya
dilaksanakan. Maka, dasar PPSMI secara rasminya telah dimansuhkan secara
beransur-ansur mengikut kohort persekolahan sekarang.
Berikutan pemansuhan PPSMI yang telah
diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 berdasarkan surat
pekeliling ikhtisas bil 2/2010: pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia
dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), dasar MBMMBI telah dilaksanakan bagi
menggantikan dasar PPSMI di sekolah-sekolah. Pelaksanaan dasar ini masih lagi
dalam proses pelaksanaan secara berperingkat dan kerjasama semua pihak
diharapkan dapat membantu melaksanakan dasar pembangunan pendidikan ini.
Strategi memartabatkan Bahasa Malaysia
meilbatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik
di sekolah kebangsaan dan menengah serta penambahbaikan terhadap pendekatan
pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu. Manakala strategi
memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris melibatkan penambahbaikan kurikulum
Bahasa Inggeris serta penyediaan guru dan bahan yang mencukupi dan berkualiti
bagi melaksanakan kurikulum tersebut. Christopher Bowring-Carr & John West Burnham,
Terjemahan Anuar Ayob (2009) menerusi buku “Belajar secara berkesan di sekolah”
menyebut kurikulum itu hendaklah dilihat dalam erti kata aktiviti dan
pengalaman, bukannya ilmu yang dicari dan fakta bagi diingat (Laporan Haddow,
1931)
Apakah yang dimaksudkan dengan dasar
kurikulum MBMMBI? Menurut manual pelaksanaan MBMMBI yang disiarkan melalui laman
web rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia, MBMMBI terdiri daripada 2 bahagian
iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.
Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang
sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti
termaktub dalam Perkara 152, perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga
merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
Memperkukuh Bahasa Inggeris pula membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa
Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa
ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.
Setiap pelaksanaan sesuatu dasar
mempunyai tujuan tertentu. Begitu juga pelaksanaan dasar MBMMBI yang ditawarkan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tujuan utama memartabatkan Bahasa Melayu
adalah kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat
perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara
bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia. Tujuan utama memperkukuh Bahasa
Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa
yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan
pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
2.0 Perkembangan
Merujuk kepada manual pelaksanaan dasar
kurikulum Memartabatkan Bahasa Melayu dan mengukuhkan Bahasa Inggeris yang
disiarkan melalui portal Kementerian Pelajaran Malaysia menggariskan pelbagai
strategi yang telah dicadangkan dalam rangka pelaksanaan dasar tersebut.
Lima strategi pelaksanaan dasar MBMMBI yang
akan dibincangkan pada kali ini ialah penambahan masa pengajaran Bahasa Melayu
dan Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan
Tamil, pendekatan modular kurikulum Bahasa Melayu dan transformasi kurikulum
Bahasa Inggeris, asas berbahasa (back to basics), didik hibur serta
teknologi maklumat & komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris.
Melihat kepada strategi yang pertama
iaitu penambahan masa pengajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang
diperuntukkan oleh kerajaan berdasarkan jadual berikut:
Pengajaran Bahasa Melayu
|
Pengajaran Bahasa Inggeris
|
||
SK
|
SJK
|
SK
|
SJK
|
Tahap
1:
360
minit
|
Tahap
1:
300
minit
( 210
minit + 90 minit)
|
Tahap
1:
300
minit
(210
minit + 90 minit)
|
Tahap
1:
150
minit
(60
minit + 90 minit)
|
Tahap
2:
300
minit
|
Tahap
2:
240
minit
( 150
minit + 90 minit)
|
Tahap
2:
300
minit
(210
minit + 90 minit)
|
Tahap
2:
150
minit
( 90
minit + 60 minit)
|
Penambahan
masa pengajaran ini dilaksanakan sebagai satu strategi bagi menambah penguasaan
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru
bertanggungjawab untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan
waktu yang telah diperuntukkan. Kesannya, kemahiran berbahasa murid-murid akan
dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Strategi
yang kedua ialah pendekatan modular Bahasa Melayu bagi MBM dan transformasi
kurikulum Bahasa Inggeris bagi MBI. Strategi ini menekankan berkaitan
penguasaan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid-murid. Strategi ini
menggunakan pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi
modul pengajaran dan pembelajaran. Manakala, transformasi kurikulum Bahasa Inggeris
sekolah rendah menitikberatkan penguasaan literasi asas dan pengukuhan Bahasa Inggeris
melalui pendekatan modular.
Strategi
yang ketiga pula merujuk kepada asas berbahasa (back-to-basics).
Strategi ini merujuk kepada pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur
dan sistematik. Asas berbahasa pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis
diperkukuh melalui modul pengajaran dan pembelajaran yang menerapkan elemen
yang menyeronokkan dalam seni bahasa. Asas berbahasa merupakan perkara asas
dalam menguasai sesuatu bahasa.
Strategi
yang keempat pula ialah didik hibur iaitu menggunakan pendekatan pengajaran dan
pembelajaran yang menarik menerusi penyediaan suasana pembelajaran yang
menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar,
bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa yang akan disulam dengan
aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.
Manakala,
strategi yang terakhir ialah teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran
dan pembelajaran. Kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi dalam
pengajaran dan pembelajaran tidak dapat disangkal lagi. Strategi ini
dilaksanakan melalui penggunaan teknologi malumat seperti perisian, e-mel, laman
sembang dan laman web bagi menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang
bersifat interaktif dan menghiburkan.
3.0 Implikasi
Setelah diperhatikan satu persatu strategi yang
akan dilaksanakan melalui pelaksanaan dasar memartabatkan bahasa Melayu dan
memperkukuh bahasa Inggeris, dapat difahami bahawa setiap pelaksanaan sesuatu
dasar itu mempunyai implikasi yang tertentu.
Implikasi yang dapat dilihat melalui
pelaksanaan strategi-strategi yang telah digariskan ialah penggunaan Bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu. Prof Dr Sidek Baba dalam artikelnya yang bertajuk
“martabatkan Bahasa Melayu jadi bahasa ilmu” dalam majalah pendidik keluaran
Februari (2009) menyatakan bahawa menginsafi Negara ini terdiri daripada
masyarakat berbilang kaum, penggubalan Perlembagaan Malaysia memperuntukkan
perkara 152 mengiktiraf Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi. Sejarah dan nilai budaya bahasa itu penting bagi menjadi bahasa
perhubungan antara kaum demi integrasi nasional. Pemerkasaan Bahasa Melayu yang
mendukung Akta Pendidikan 1966 menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa baku,
ditutur dan menjadi bahasa kajian dan penulisan dalam kalangan ahli akademik
yang bukan berbangsa Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa universiti
yang menjadi teras memperkasa Bahasa Melayu dalam semua bidang dan kelulusan
ini tidak mempunyai masalah untuk melanjutkan pengajaran dan kepakaran dalam
Bahasa Inggeris. Beliau juga menyatakan sifat Bahasa Melayu yang dinamik
terbuka menerima masuk ribuan istilah Arab daripada sumber Al-Qur’an, istilah
Bahasa Inggeris yang disesuaikan dengan kaedah sebutan dan ejaan Bahasa Melayu
termasuk istilah sains dan matematik yang banyak diterima daripada Bahasa
Inggeris. Sebagai sebuah bahasa yang dinamik, Bahasa Melayu boleh menjadi satu
bahasa yang penting di dunia. Bahasa ini diucapkan oleh hampir 300 juta
penduduk di Asia Tenggara. Memartabatkannya sebagai bahasa ilmiah, bahasa sains
dan teknologi amat penting supaya bahasa ini menarik minat orang luar untuk
mempelajarinya.
Implikasi lain yang wujud hasil
pelaksanaan dasar MBMMBI ini ialah kepakaran guru harus dipertingkatkan. Guru-guru
yang berkhidmat adalah hasil keluaran institut pendidikan guru yang memfokuskan
kepada menguasai kemahiran mengajar dan pedagogi di sekolah kelak. Menurut Tan
Sri Muhyiddin dalam buku Sudut Pandang Muhyiddin Yassin. Isu, kontroversi,
pandangan serta harapan; sebuah wawancara keluaran Institut Terjemahan Negara
Malaysia Berhad (2011) ada menyatakan kita akan mewujudkan lima IPGM Kampus
Bahasa Inggeris yang akan berfungsi melatih guru-guru Bahasa Inggeris. Selain
itu, guru Bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru dari luar negara juga akan
diambil dan ditempatkan di sekolah kawasan luar bandar. Sebagai galakan,
insentif khusus akan diberi kepada guru-guru Bahasa Inggeris yang sedia
berkhidmat di luar bandar. Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau merupakan
satu langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menghasilkan guru yang mempunyai
kepakaran dalam Bahasa Inggeris dalam rangka memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Kampus
Bahasa Inggeris akan memberikan fokus terhadap penguasaan Bahasa Inggeris dalam
kalangan guru yang akan dihasilkan. Prof Dr Radin Umar menyatakan dalam ruangan
Interview dalam majalah The Teacher :daripada guru kepada guru keluaran
Ogos 2009, setiap pelajar dikehendaki menduduki Malaysia University English
Test (MUET) dan ia menggambarkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar. Pengambilan
ujian ini oleh para pelajar di peringkat pengajian tinggi memberikan
pengiktirafan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris oleh pelajar tersebut.
Selain itu, ia juga memberikan implikasi terhadap penyediaan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah. Kerajaan telah pun menyediakan peruntukan penggunaan media dan teknologi maklumat dalam pengajaran melalui surat pekeliling ikhtisas bil. 6/2003: Dasar Penggunaan Media Dan Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Surat pekeliling ikhtisas tersebut ada menyatakan seperti yang kita sedia maklum, Kementerian Pendidikan telah membekalkan sekolah-sekolah dengan pelbagai jenis teknologi (perkakasan dan perisian) dengan tujuan untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Antara teknologi utama yang dibekalkan kepada sekolah ialah komputer dan perantinya, Digital Multimedia Systems, rancangan TV Pendidikan, dan perisian pendidikan (courseware). Pembekalan teknologi ini dibuat secara berperingkat-peringkat. Maka, teknologi maklumat dan komunikasi yang disediakan merupakan satu kelebihan yang perlu digunakan dengan cara yang sebaiknya. Pengajaran menggunakan media, teknologi maklumat dan komunikasi menjadikan suasana pengajaran interaktif, seronok dan menghiburkan.
Seterusnya,
dasar MBMMBI ini memerlukan guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang akan dilaksanakan di dalam kelas. Bagi memenuhi tuntutan ini,
guru hendaklah sentiasa mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran
supaya sesi pembelajaran lebih menyeronokkan dan objektif yang digariskan dapat
dicapai dengan jayanya. Menurut Noriati A.Rashid et al.(2009) menyatakan
peranan guru adalah untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan pelajar
mengambil bahagian dan berinteraksi dalam aktiviti bilik darjah atau penerokaan
melalui internet. Kaedah pengajaran ini mendedahkan murid dengan sesuatu yang
mungkin tidak pernah dipelajari sekaligus menyediakan murid untuk menjadi modal
insan yang cemrlang selaras dengan kemajuan pendidikan dunia masa kini. Kementerian
Pelajaran Malaysia melalui jawapan daripada Tan Sri Muhyiddin bin Yassin
menjawab persoalan bagaimana pula dengan usaha memantapkan Bahasa Melayu. Beliau
ada menyatakan pemantapan penguasaan Bahasa Melayu perlu bergerak seiring
dengan pengukuhan Bahasa Inggeris. Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran
Malaysia akan memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas Bahasa Melayu
dalam kalangan murid melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Selain
itu, penekanan juga akan diberikan kepada penghayatan dan apresiasi
kesusasteraan Melayu bagi murid di peringkat sekolah menengah.
Bahasa ibunda kembali sebagai bahasa
pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Menurut Tan
Sri Muhyiddin dalam buku yang dikeluarkan oleh Institut Terjemahan Negara
Malaysia Berhad (2011) yang bertajuk Sudut pandang Muhyiddin Yassin. Isu,
kontroversi, pandangan serta harapan; Sebuah wawancara, ada menyatakan kita berpegang kepada beberapa hasil kajian di
peringkat antarabangsa, antaranya termasuklah oleh UNESCO, yang memperakukan
bahawa bahasa ibunda yang mudah difahami oleh murid adalah bahasa terbaik untuk
dijadikan bahasa pengantar, terutamanya di peringkat rendah. Beliau menambah, laporan
trends in mathematics and science study (2007) juga melaporkan bahawa negara-negara
yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran
Sains dan Matematik terbukti mencatatkan prestasi lebih baik berbanding dengan
negara-negara yang tidak menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar
bagi kedua-dua matapelajaran tersebut. Lebih daripada itu, UNESCO juga
memperakukan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah
faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian matlamat “education for all”,
iaitu matlamat menyediakan akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan kepada
semua tanpa mengira bahasa, lokaliti, taraf sosioekonomi dan jantina. Keputusan
pelaksanaan dasar MBMMBI ini selaras dengan amalan pendidikan peringkat
antarabangsa.
Pelaksanaan dasar MBMMBI ini menuntut
kesungguhan para pendidik untuk melaksanakannya. Menurut Tan Sri Muhyiddin, tidak
adil untuk kita melabelkan guru-guru tidak cukup berusaha kerana apa yang
berlaku ialah mereka sedaya upaya berusaha untuk menyampaikan ilmu kepada
murid. Tetapi disebabkan oleh penguasaan Bahasa Inggeris yang amat rendah khususnya
dalam kalangan murid luar bandar dan pedalaman, keadaan memaksa guru untuk
mengajar dalam dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, malah soalan
peperiksaan juga terpaksa dibuat dalam dwibahasa bagi memastikan kehendak
soalan benar-benar difahami. Robiah Sidin (1994) menyatakan murid sukar
memahami konsep dalam matapelajaran Sains, Matematik dan lain-lain berpunca
daripada kelemahan dalam penguasaan bahasa. Walaupun fasih dan petah bercakap,
pelajar tidak semestinya cekap memahami konsep-konsep yang disampaikan dalam
beberapa matapelajaran di sekolah. Satu strategi utama yang perlu dilaksanakan
ialah meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Maka, dasar
ini diwujudkan bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan murid
samada di peringkat sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Justeru, guru
berperanan besar dalam proses pelaksanaan dasar ini, Robiah Sidin (1994)
menyatakan komitmen guru dan kesanggupan mereka untuk sama-sama bertungkus
lumus dengan pelajar mestilah ada. Banyak penyelidikan yang dibuat membuktikan
bahawa dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar, guru yang
bersungguh-sungguh dan cekap adalah jauh lebih berkesan daripada guru yang
hanya berprestasi cemerlang. Selain itu, jika semua pihak komited, ikhlas dan
sentiasa bersedia melakukan penambahbaikan secara menyeluruh, maka penguasaan
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris melalui dasar MBMMBI ini akan meningkat dalam
kalangan murid di negara ini.
4.0 Cadangan
Melihat kepada perbincangan isu ini,
cadangan yang dapat dikemukakan ialah dengan melaksanakan strategi-strategi
yang telah dicadangkan dengan bersungguh-sungguh sehinggalah tercapainya hasrat
dan cita-cita dalam pelaksanaan dasar ini. Komitmen daripada pelbagai pihak
khususnya pihak pentadbiran, guru-guru, ibu bapa dan juga murid-murid serta
pelajar adalah penting dan amat diharapkan. Cadangan ini merupakan jalan tengah
terbaik setelah berlakunya konflik dalam pelaksanaan PPSMI sepertimana yang
disiarkan dalam Berita Harian, 26 November 2011 iaitu Langkah
pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI) dilihat jalan tengah terbaik yang diambil Kementerian Pelajaran bagi
menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI). Ada beberapa kepentingan utama dasar MBMMBI yang harus
mendapat perhatian dan dokongan semua pihak. Pertama, dasar ini akan memberi
ruang yang meluas kepada Bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu dalam
bidang-bidang penting dan strategik. Kedua, ia memberi perakuan iaitu sekiranya
cita-cita kita untuk melahirkan generasi yang berdaya saing menerusi penguasaan
bahasa Inggeris, maka usaha harus ditumpukan kepada pembangunan di dalam
pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa tersebut secara khusus dan bukannya
menerusi subjek-subjek lain seperti Matematik dan Sains.
Atas kepentingan ini, kita merasakan debat tentang kewajaran penggunaan dasar PPSMI tidak harus diteruskan lagi. Ini bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk mula merancang dan fokus bagi menjayakan dasar MBMMBI secara lebih tersusun dan memastikan keberkesanan pelaksanaannya. Proses penambahbaikan secara berterusan ini diperkukuhkan lagi dengan penubuhan enam Jawatankuasa Kecil yang telah dibentuk oleh pihak kerajaan sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini dan mereka dipertanggungjawabkan memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, logistik, personel dan penerangan. Dengan ini diharapkan sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan MBMMBI ini membolehkan kita mencapai matlamat menambah baik kualiti pendidikan di Negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan Malaysia.
5.0 Rumusan
Dasar ini memberi ruang yang cukup luas
dalam usaha Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Bakal
guru dan guru-guru yang sedang berkhidmat berperanan besar dalam melaksanakan
dasar ini sesuai dengan matlamat pelaksanaannya. Usaha ini diharapkan dapat
melonjakkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan
melalui sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan. Semoga setiap usaha
yang dilakukan membuahkan hasil seterusnya melahirkan modal insan yang
seimbang, holistik dan berperanan besar dalam menaikkan nama Malaysia di persada
antarabangsa. Usaha ini merupakan satu
cabaran besar. Namun, kita tiada pilihan lagi. Kita ingin mengesyorkan
Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bahasa dan
seluruh institusi dan pergerakan sivil bagi merancang satu gerakan kesedaran
dan pembudayaan dasar ini. Ia boleh dirancang antaranya dengan menyemarakkan
kegiatan seperti penganjuran program pendidikan lanjutan di peringkat dewasa,
belia, remaja dan kanak-kanak bagi memberi peluang kepada mereka mendalami
bahasa Melayu dan Inggeris secara tidak formal dan berterusan.
RUJUKAN:
- Sudut Pandang Muhyiddin Yassin. Isu, Kontroversi, Pandangan Serta Harapan. Sebuah Wawancara. (2011). Kuala Lumpur. Institut terjemahan Negara Malaysia Berhad.
- Christopher Bowring-Carr & John West Burnham. Penterjemah Anuar Ayob. (2009). Belajar secara berkesan di sekolah. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia.
- Robiah Sidin. (1994). Pendidikan di Malaysia, cabaran untuk masa depan. Kuala Lumpur. Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.
- Najeemah Md.Yusof. (2006). Konsep pendidikan. Selangor Darul Ehsan. PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.
- Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan Alam Belajar. Selangor Darul Ehsan. Oxford Fajar Sdn.Bhd.
- Berita Harian. (2011, November 11). Sebahagian besar murid tak upaya ikuti PPSMI, 36 &37.
- Berita Harian. (2011, Oktober 31). Minda pengarang: beri ruang, kesempatan pelaksanaan dasar MBMMBI.
- Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia. (2010). Memartabatkan Bahasa Melayu & Memperkukuh Bahasa Inggeris. Kuala Lumpur: kementerian Pelajaran Malaysia.
- Prof Dr Radin Umar. (2009, Ogos) . kerjasama mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris. The teacher: daripada guru kepada guru. 4&5.
- Prof Dr Sidek Baba. (2009, Februari). Martabatkan Bahasa Melayu jadi bahasa ilmu. Pendidik. 58, 59 & 60.