ULASAN ISU 4 - NOR 'ATIKAH

1.0  Pengenalan

Pendidikan merupakan satu daripada elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam menuju ke arah kemajuan.  Di Malaysia, pendidikan amat dititkberatkan bagi semua rakyat kerana ia membawa ke arah pencapaian visi negara dalam memperoleh status negara membangun dari sudut pembangunan ekonomi, sosial dan kerohanian, moral dan etika (Noriati et. al., 2010).  Guru merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam memastikan pendidikan di negara ini dapat dijalankan mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang telah ditetapkan.  Profesion ini berkembang seiring peningkatan dan perkembangan pendidikan secara khususnya selepas kemerdekaan negara (Esah, 2003).

Dalam mengalami perkembangan profesion, insan guru sering berhadapan dengan isu yang mengundang pandangan negatif dan kontroversi sekaligus menyebabkan ia dipandang serong oleh masyarakat.  Namun, tidak kurang juga isu yang menonjolkan inovasi dan di mana ia membuktikan bahawa guru masih berketrampilan dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara (Haji Zainal, 2008).  Walaupun pelbagai isu melanda para guru semenjak dulu hingga kini sama ada isu positif mahupun negatif, namun kerajaan Malaysia sentiasa menyanjung tinggi profesion ini.  Anugerah Guru Cemerlang merupakan antara contoh yang menunjukkan bahawa insan guru masih dimartabatkan dan diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan rakyat.

Saban tahun, pihak kerajaan Malaysia dengan berwakilkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai ketua dalam bidang pendidikan akan memberikan anugerah ini kepada insan guru yang layak setelah melalui beberapa syarat yang telah ditetapkan.  Anugerah yang diberikan ini bukanlah suatu keistimewaan semata-mata kerana secara tersiratnya ia merupakan suatu amanah dan tanggungjawab kepada insan guru yang terpilih dalam membawa hala tuju pendidikan negara ke arah Wawasan 2020.

Satu daripada tanggungjawab yang diberikan kepada guru cemerlang adalah untuk memikirkan mekanisme terbaik dalam menyediakan murid generasi hari ini untuk memenuhi pekerjaan masa hadapan.  Ia merupakan satu amanah yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri (PM) Malaysia Keenam, melalui Majlis Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 12 Julai 2012 yang lepas (Utusan Malaysia Online, 2012).

2.0  Perkembangan Hujah

Antara isi penting yang diketengahkan dalam isu ini adalah permintaan PM agar guru-guru cemerlang di Malaysia memikirkan mekanisme terbaik sebagai persediaan generasi hari ini memenuhi tuntutan pekerjaan pada masa hadapan.  Dalam masa yang sama beliau telah menegaskan di dalam majlis ini bahawa peranan guru cemerlang adalah mengajar di dalam bilik darjah di samping mencetuskan inspirasi dan motivasi kepada guru lain untuk meningkatkan  kualiti P&P (Unit Komunikasi Korporat, KPM, 2012).

Guru cemerlang membawa maksud guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P) (PPD Hulu Langat, 2011).  Ia juga telah ditakrifkan sebagai guru pakar yang diiktiraf Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas kemahiran, kepakaran dan kecemerlangan dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan  tertentu (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010).  Haji Zainal (2008) pula telah memberikan makna guru cemerlang sebagai guru bestari yang mempunyai ilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi, cerdas, penyayang dan berketerampilan.  Beliau turut menyenaraikan kemampuan untuk menjadi model serta contoh teladan yang baik kepada orang lain sebagai satu daripada kriteria guru cemerlang.  Menurut Datuk Hashim Hassan, Timbalan Pengarah Pendidikan bahagian Pendidikan Swasta (2009) melalui satu daripada artikelnya di dalam majalah Pendidik mengatakan guru cemerlang merupakan guru yang mampu mengubah suasana dan persekitaran sekolahnya dengan memegang konsep ‘no if, no but’.  Beliau menyatakan guru cemerlang perlu meletakkan konsep mesti boleh buat dalam membawa perubahan kepada warga sekolah di mana dirinya berkhidmat.

Konsep guru cemerlang diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1994 dengan tujuan guru-guru yang menyerlah dalam mata pelajaran yang diajar ataupun bidang pengkhususan masing-masing dapat diberikan kenaikan pangkat tanpa perlu bertukar daripada jawatan guru kepada jawatan pentadbiran (Kementerian Pelajaran Malaysia, __).  Cara ini secara langsung dapat mengekalkan guru-guru yang berkemahiran, berpengalaman, bermotivasi dan pakar dalam sesuatu bidang untuk terus mengajar serta memperkasakan lagi proses P&P di sekolah di samping secara tidak langsung menjadi pemangkin sesebuah sekolah ke arah meningkatkan prestasi akademik yang lebih cemerlang (Kementerian Pelajaran Malaysia, __).  Menurut KPM juga, ia bertujuan untuk menjadikan guru cemerlang ini sebagai contoh atau ‘role-model’ kepada guru lain dalam meningkatkan inspirasi dan motivasi guru lain untuk bersaing meningkatkan kualiti P&P di sekolah sebagaimana yang disebutkan PM dalam Majlis Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012 (Unit Komunikasi Korporat, KPM, 2012). 

Guru cemerlang perlu menunjukkan keterampilan profesional dalam meningkatkan kualiti pencapaian murid berdasarkan kepakaran dan prinsip pedagogi agar dapat menghasilkan P&P berkualiti dan memberi keseronokan pembelajaran kepada murid.  Keterampilan ini boleh dilihat daripada tugas-tugas yang digalas oleh guru cemerlang selain daripada mengajar seperti penglibatan dalam bidang kokurikulum serta penampilan personaliti dan keperibadiannya (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010).  Kelayakan bagi seseorang guru biasa yang memohon guru cemerlang adalah berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.  Pemangkuan guru cemerlang hanya akan disahkan sekiranya guru tersebut memenuhi syarat-syarat ini (Kementerian Pelajaran Malaysia, __) :

Syarat-syarat Umum
Disahkan dalam perkhidmatan (bagi urusan pemangkuan ke Gred DG44(KUP) sahaja):
i.      Mencapai tahap prestasi yang ditetapkan berdasarkan LNPT bagi 3 tahun terakhir;
ii.    Bebas daripada tindakan tatatertib;
iii.   Telah mengisytiharkan harta;
iv.   Lulus tapisan keutuhan SPRM;
v.    Bebas daripada senarai Peminjam Tegar Institusi Pinjaman Pendidikan;
vi.   Diperakukan oleh Ketua Jabatan / Perkhidmatan.

Syarat-syarat Khusus
i.      Bagi Gred DGA32(KUP): sekurang-kurangnya 5 tahun mengajar termasuk 3 tahun mengajar mata pelajaran kepakaran:
ii.    Bagi Gred DG44(KUP): sekurang-kurang 5 tahun mengajar termasuk 3 tahun terakhir mengajar mata pelajaran pakar;
iii.   Bagi Gred DG48(KUP); telahdinaikkanpangkat ke Gred DG44(KUP)/Gred DG44 hakiki;
iv.   Bagi Gred DG52(KUP): telah dinaikkan pangkat ke Gred DG48(KUP)/Gred48 hakiki;
v.    Bagi Gred DG54(KUP): telah dinaikkan pangkat ke Gred DG52(KUP)/Gred DG52 hakiki;
vi.   Bagi Gred Khas C (KUP): telah dinaikkan pangkat ke Gred DG54(KUP)/Gred DG54 hakiki.

Walaubagaimanapun, ada pendapat yang mengatakan bahawa mekasnime ini bukanlah merupakan tugas guru cemerlang sahaja malah ia adalah tugas guru besar, guru-guru lain dan individu yang terlibat di dalam bidang pendidikan.  Menurut Datuk Hassan Hashim (2009), guru yang baru dihantar bertugas juga seharusnya memikul tanggungjawab ini memandangkan mereka masih segar dan bersemangat untuk membawa sebarang pembaharuan di tempat bertugas.  Perkara ini turut dinyatakan oleh Sufean (2002) di mana proses melahirkan tenaga kerja mahir dan berdisiplin bagi negara pada masa hadapan adalah tanggungjawab yang terbeban kepada individu yang mempunyai perkaitan dengan bidang pendidikan.  Justeru, tidak semestinya guru yang bergelar ‘guru cemerlang’ sahaja yang perlu membawa generasi hari ini memenuhi pasaran pekerjaan pada zaman akan datang dan guru lain berlepas tangan, namun ia merupakan kerjasama antara semua yang menggelarkan diri mereka sebagai insan guru.

Mekanisme bermaksud cara yang merangkumi sistem atau saluran untuk memungkinkan atau membuka jalan kepada pelaksanaan sesuatu (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi Keempat, 2007).  Pekerjaan pada masa hadapan yang dimaksudkan oleh PM pula adalah bidang-bidang pekerjaan baru yang mungkin akan wujud pada masa hadapan di mana ia mungkin suatu bidang yang tidak ada pada zaman kini.  Ia berdasarkan ucapan beliau di majlis bersama 1 500 orang guru cemerlang yang mengatakan situasi itu sama seperti yang berlaku pada zaman persekolahannya yang tidak pernah terfikir akan kewujudan pekerjaan berkaitan kejuruteraan mekatronik dan robotik (Utusan Online, 2012).  Oleh yang demikian, dapat disimpulkan melalui artikel ini bahawa PM meminta agar para guru cemerlang di Malaysia memikirkan jalan yang terbaik untuk menyediakan murid generasi hari ini menepati tuntutan dan permintaan pekerjaan yang wujud pada masa hadapan.  Ini adalah kerana satu daripada tanggungjawab pendidikan adalah untuk melahirkan individu bertenaga kerja mahir dan berdisiplin bagi sektor awam dan swasta yang wujud dalam negara (Sufean, 2002).

Bertepatan dengan mekanisme yang dibicarakan, Syed Ismail dan Ahmad Subki (2010) menyatakan bahawa para guru cemerlang merupakan insan guru yang bijak dalam memilih sesuatu pendekatan atau strategi pengajaran sebagai  satu mekanisme dalam menjadikan suatu P&P itu lebih berkualiti.  Pendekatan dan strategi P&P yang dipilih lazimnya berdasarkankan kepekaan terhadap dasar dan isu pendidikan semasa.  Sedarsawarsa ini, globalisasi yang berlaku dalam bidang pendidikan ekoran daripada kepesatan perkembangan dalam bidang teknologi dan maklumat sememangnya menuntut para insan guru untuk menyediakan P&P yang sesuai dan berkualiti mengikut keadaan zaman kini.  Hal demikian disebabkan oleh keghairahan murid dalam bidang teknologi maklumat yang menghidangkan pelbagai sumber maklumat tanpa sempadan memberikan cabaran kepada guru untuk melaksanakan P&P yang seirama dengan mereka (Haji Zainal, 2008).

Sehubungan dengan itu, guru cemerlang boleh menjadikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai satu mekanisme terbaik dalam menyiapkan murid untuk memenuhi pekerjaan pada masa hadapan.  Ini berdasarkan satu daripada aspek yang ingin dicapai kerajaan dalam Wawasan 2020 iaitu masyarakat progresif yang gigih menimba dan mengaplikasikan ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi (Sufean, 2002).

Penggunaan ICT dalam proses P&P merupakan suatu yang amat penting pada masa kini kerana dunia sekarang menuju ke abad 21 di mana penggunaan ICT menjadi suatu kebiasaan.  Penguasaan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT ini sudah menjadi teras dalam bidang pendidikan hari ini.  Ekoran daripada itu, pihak KPM telah meningkatkan infrasturuktur teknologi bagi sekolah-sekolah yang ada melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) agar bidang pendidkan seiring dengan perubahan semasa yang sedang berlaku (Norasiah et. al., 2009).  Selaras dengan itu, guru terutamanya guru cemerlang yang menjadi contoh kepada guru-guru lain di sekolah seharusnya menggunakan kemudahan yang telah disediakan pihak KPM ini dalam melahirkan murid-murid generasi kini yang mampu memenuhi pasaran pekerjaan pada masa hadapan.  Walaupun penggunaan kaedah pengajaran tradisional masih dikatakan releven pada masa kini dan masih mampu melahirkan ramai murid yang berjaya dan penggunaan ICT bukanlah merupakan satu tiket yang memastikan kejayaan murid namun ia secara tidak langsung dapat membantu guru dalam menangani kelemahan dan masalah yang dihadapi dalam P&P yang dibawa secara tradisi serta dapat membantu guru agar pengajaran yang dilaksanakan secara berkesan terhadap murid-murid (Jamalludin & Dr. Zaidatun, 2003).  Di samping itu, guru yang menguasai bidang teknologi sebenarnya telah menunjukkan pengamalannya terhadap satu daripada peranan guru iaitu pengamal ilmu dan kemahiran dihayati di mana pembelajaran dilakukan bagi meningkatkan kebolehan, keupayaan dan sikap mengikut perubahan semasa (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010).  Justeru, penggunaan ICT dalam P&P seharusnya dapat membantu murid-murid sekarang untuk melengkapkan diri dengan satu daripada kriteria yang diperlukan dalam pekerjaan pada masa hadapan. 

Bertitik tolak daripada kepentingan ICT, peledakan dan pengubahsuaian kurikulum adalah sangat perlu supaya seiring dengan perkembangan dunia semasa (Norasiah et. al., 2009).  Bertepatan dengan itu, pihak kerajaan Malaysia telah meletakkan bidang pendidikan antara bidang yang terlibat dalam agenda transformasi kerajaan.  Ali Ab. Ghani, Pengarah Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) KPM menyatakan dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘PIPP Teras 2 : Membangun Modal Insan’ (2009) bahawa pengisian dan struktur kurikulum yang ada perlu dilihat semula untuk disuaikan dengan keperluan semasa dan akan datang.  Ini kerana menurut beliau, penjanaan sistem pendidikan yang berkualiti memerlukan sifat pendidikan yang dinamik dan relevan dengan kehendak semasa atau masa akan datang.  Beliau juga menyatakan pelaksanaan sistem kurikulum sebelum ini iaitu KBSR dan KBSM mempunyai banyak kelemahan ekoran daripada sikap guru yang tidak melaksanakan prinsip KBSR dan KBSM secara jitu kerana terlampau fokus mengajar untuk mencapai gred kelulusan A dalam pepeiksaan.  Justeru, BPK telah membentuk satu struktur kurikulum baru KBSR yang memperkenalkan konsep tunjang di mana ia membentuk pengklasifikasin bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang.  Tunjang yang diperkenalkan dalam transformasi kurikulum ini adalah tunjang komunikasi; tunjang kerohanian, sikap dan nilai; tunjang kemanusiaan; tunjang keterampilan diri; tunjang fizikal dan estetika; dan tunjang literasi sains dan teknologi.  Menurut Prof. Dr. Sidek Baba (2009) dalam artikelnya ‘Sistem Pendidikan Negara Perlu Transformatif’ pula sistem pendidikan negara kini sememangnya memerlukan transformasi memandangkan pembangunan modal insan yang diwar-warkan kerajaan mempunyai perkaitan rapat dengan sistem pendidkan yang ada.  Tambahan pula Malaysia kini semakin menuju abad ke-21 yang mengalami pelbagai kepesatan perkembangan terutamanya bidang ICT menunjukkan peri pentingnya kurikulum pendidikan bergerak seiring dengan perkembangan tersebut memandangkan pendidikan merupakan satu wahana untuk negara menuju ke arah itu.  Berdasarkan rasional ini, perancangan kurikulum perlulah bercorak abad 21 yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik (Abu Bakar & Ikhsan, 2003).  Ia adalah untuk menyediakan murid-murid pada hari ini memenuhi tuntutan pekerjaan pada masa hadapan.

Selain daripada penggunaan ICT dan transformasi kurikulum, guru cemerlang perlu menerapkan kemahiran berfikir yang tinggi sebagai satu daripada cara untuk menyediakan murid-murid memenuhi tuntutan pekerjaan masa hadapan.  Ini adalah kemahiran berfikir yang tinggi akan menggalakkan mereka berfikir dengan lebih kritis, analitis, kreatif dan inovatif.

Menurut Abu Bakar dan Ikhsan (2003), pemikiran yang kritis dan analitis perlu untuk diterapkan dalam minda murid-murid kerana kehidupan pada masa hadapan menuntut kebolehan membuat pilihan dan keputusan yang rasional.  Keupayaan berfikir juga sebenarnya boleh menjadi landasan kepada pengembangan ilmu dan mempunyai perkaitan dengan kehidupan seseorang (Prof. Dr. Sidek Baba, 2009).  Pemikiran kritis dan analitis akan membantu mereka mengenalpasti idea dan pandangan yang membawa kepada perubahan tingkah laku peribadi yang lebih baik.  Hal demikian disebabkan cabaran dan dugaan pada masa akan datang adalah abstrak dan tidak diduga bentuknya di mana ia memerlukan murid-murid ini berfikir secara analitis dan kritis supaya tidak memberikan impak yang negatif dalam kehidupan mereka di samping membantu mereka membentuk tingkah laku yang baik (Abu Bakar & Ikhsan, 2003).  Pemikiran kreatif dan inovatif yang diterapkan guru dalam P&P pula akan membolehkan murid menghasilkan suatu produk atau inovasi baru.  Ia bukanlah suatu yang sukar memandangkan guru cemerlang yang turut dikenali dengan gelaran guru pakar merupakan insan yang berupaya menjana idea baharu dalam matapelajaran yang diajar atau bidang pengkhususannya, maka menggalakkan murid-murid yang diajar di dalam kelas untuk berfikiran kreatif dan inovatif untuk mencipta sesuatu produk (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010).  Pembudayaan kreatif dan inovatif ini juga telah disenaraikan sebagai satu daripada nilai asas pelengkap bagi teras strategi pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK-10) yang dibentangkan oleh PM, Datuk Seri Najib Razak pada Jun 2010 (Arkib Berita Harian, 2010).  Ia telah diperkembangkan lagi daripada teras yang dicadangkan dalam RMK-9 di mana peningkatan daya inovasi diseiringkan dengan penggalakan penyelidikan dan pembangunan (Research & Development, R&D). 


Menggalakkan R & D Dan Meningkatkan Daya Inovasi

43. Sains dan teknologi adalah penting untuk pembangunan negara. Oleh itu, pelbagai langkah akan terus diambil bagi menambah baik infrastruktur dan system inovasi negara. Bagi meningkatkan bilangan penyelidik dan perekacipta pada masa hadapan, lebih banyak biasiswa akan disediakan bagi peringkat pengajian lepasan ijazah untuk mencapai sasaran 50 orang penyelidik dan jurutera bagi setiap 10,000 orang pekerja. Sektor swasta juga akan digalakkan untuk turut menyumbang melalui penyediaan biasiswa serta bantuan kewangan bagi R&D dan pengkomersilan teknologi.

Sumber : Arkib Utusan Online, 2008.
 
 
Justeru sebagai guru cemerlang yang menjadi harapan kepada kemajuan pendidikan negara pada masa hadapan, tanggungjawab yang digalas untuk menerapkan pemikiran yang kritis, analitis, kreatif dan inovatif dalam diri murid perlu diambil berat.  Sehubungan itu, guru cemerlang itu sendiri perlu melengkapkan dirinya dengan apa yang ingin diterapkan kepada anak murid.  Menurut Haji Zainal (2008), antara kelengkapan yang perlu ada dalam diri seorang guru cemerlang adalah kreatif, inovatif, progresif, persuasif dan proaktif.  Kesemua ciri ini seharusnya diperkasakan terlebih dahulu ke dalam diri guru untuk memberikan gambaran kepada murid, ibu bapa dan masyarakat sekeliling bahawa dirinya mempunyai kemampuan dan kredibiliti yang tinggi sebagai guru cemerlang.

Pembentukan tingkah laku juga merupakan antara cara yang boleh dilakukan guru cemerlang dalam mempersiapkan murid-murid generasi hari ini untuk memenuhi tuntutan pekerjaan pada masa hadapan.  Ia berdasarkan FPK yang menitikberatkan perkembangan individu yang sepadu dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.  Ekoran daripada itu, perkembangan tingkah laku yang terletak pada aspek rohani  dalam FPK dapat membantu guru cemerlang dalam menyediakan generasi kini untuk memenuhi pasaran pekerjaan masa hadapan.  Perihal tingkah laku ini telah menjadi satu daripada perakuan utama Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan bahawa sistem pendidikan merupakan pembinaan masyarakat berilmu, berhemah mulia, berkemahiran dan berdaya saing dalam arus kemajuan duniawi atau globalisasi yang berteraskan perkembangan sains, teknologi dan maklumat (Sufean, 2002).  Ini menunjukkan bahawa tugas guru bukanlah sekadar memberikan ilmu pengetahuan malah perlu memastikan mereka mempunyai nilai moral dan kerohanian yang tinggi kerana ilmu pengetahuan semata-mata tidak dapat mempersiapkan generasi zaman ini berhadapan dengan cabaran dan dugaan masa hadapan.  Hal ini turut ditekankan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK-9) di mana pembinaan modal insan perlu secara holistik merangkumi ilmu dan nilai moral yang kukuh (Mahdi et. al., 2010).  Beliau telah meletakkan hasrat melahirkan modal insan ‘minda kelas pertama’ sebagai datu daripada pecahan kecil bagi teras yang dicadangkannya (Arkib Utusan Online, 2008).  Pembangunan modal insan yang sejajar dengan ilmu pengetahuan dapat membantu generasi hari ini untuk menjamin kehidupan mereka pada masa hadapan di samping dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat pada masa itu (Mahdi, 2010).  Modal insan yang ingin diterapkan seiring keintelektualan murid ini tidak boleh diukur dengan kepakaran dan kemahiran semata-mata tetapi turut menekankan aspek pembangunan nilai di dalam diri mereka.

3.0  Implikasi Hujah

Berdasarkan perbincangan sebelum ini, beberapa mekanisme telah dinyatakan sebagai jalan yang boleh diambil oleh guru cemerlang dalam usaha menyediakan generasi sekarang untuk memenuhi pekerjaan pada masa hadapan.  Sememangnya sudah menjadi hukum alam bahawa setiap perkara yang ada mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.  Pengaplikasian mekanisme ini juga tidak terkecuali daripada mempunyai kedua-dua elemen ini.

Penggunaan ICT sememangnya memberikan banyak kelebihan bukan sahaja kepada guru cemerlang sekiranya diamalkan di dalam proses P&P malahan turut memberikan impak kepada murid yang secara tidak langsung dapat memberikan kebaikan kepada negara.  Antara kelebihan yang dapat diperolehi oleh guru cemerlang yang menagplikasikan ICT adalah ia memudahkan guru untuk menyediakan bahan pengajaran yang kreatif dan inovatif dalam P&P (Noarasiah et. al., 2009).  Ini kerana terdapat pelbagai perisian yang merangkumi hampir keseluruhan matapelajaran di sekolah rendah disediakan  oleh pihak KPM bagi membantu para guru melaksanakan P&P.  Walaubagaimanapun, inisiatif dan kekreatifan guru terutamanya guru cemerlang adalah lebih baik untuk menambah baik perisian yang disediakan agar dapat disesuaikan dengan cara pengajaran sendiri dan keadaan murid supaya P&P yang dibawa lebih berkesan dan berkualiti (Srihanasham, 2009).  Selain daripada itu, ICT juga dapat membantu guru apatah lagi guru cemerlang menyampaikan P&P dalam masa yang singkat di samping dapat menjimatkan tenaga guru.  Hal ini kerana penggunaan ICT membuatkan pengajaran guru lebih sistematik dan perisisan yang sesuai dapat menerangkan konsep-konsep yang sukar dengan lebih efektif (Norasiah, 2009).  Pengunaannya juga dapat meningkatkan minat dan motivasi murid ekoran daripada sifat keinteraktifan bahan ICT yang digunakan guru sekaligus membuatkan mereka bermotivasi untuk mencuba perisian tersebut di samping menyerap ilmu yang diisi di dalamnya (Jamalludin & Dr. Zaidatun, 2003).  Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang tidak dapat disangkal mengenai penggunaan ICT ini.  Menurut Jamalludin & Dr. Zaidatun (2003) tempoh penghasilan yang panjang merupakan antara kelemahan penggunaan ICT di dalam P&P. Ia menuntut fokus dan masa guru cemerlang untuk menghasilkan perisian yang bersesuaian dengan murid sedangkan sebagai guru cemerlang, tanggungjawab yang dipikul bukanlah semata-mata melibatkan diri dalam proses P&P sahaja malah pelbagai bidang lain yang ada di sekolah.  Selain daripada itu, kurangnya kualiti perisian yang menepati piawaian pendidikan juga antara kelemahannya ekoran daripada kurangnya tenaga mahir berkaitan bidang ini di samping guru sendiri kurang berminat, pengetahuan serta kemahiran untuk mengelola alat-alat ICT ini (Jamalludin, & Dr. Zaidatun, 2003).

Murid juga turut menerima impak daripada penggunaan ICT ini.  Sebagai contoh, murid dapat belajar dalam keadaan yang seronok dan bermotivasi (Norasiah et. al., 2009).  Ini adalah disebabkan kesesuaian pembawaan P&P guru sezaman dengan tumbesaran mereka yang dikelilingi dengan alatan ICT.  Keterujaan mereka terhadap ICT secara tidak langsung akan memotivasikan diri mereka dengan penggunaan teknologi.  Selain daripada itu, murid juga dapat digalakkan untuk belajar sendiri (Jamalludin & Dr. Zaidatun, 2003).  Ini boleh dilakukan di mana guru memberikan tugasan secara atas talian (on-line) dan disemak bersama secara atas talian juga.  Ia secara tidak langsung akan memberikan pendedahan kepada murid untuk belajar menggunakan kemahiran ICT yang menjadi tuntutan pada abad 21 kelak.  Di samping itu, penggunaan ICT juga dapat membantu murid dalam memahami dan menguasai sasuatu topik secara maksimum dengan masa yang minimum disebabkan penerangan guru lebih mudah, cepat dan tepat berbantukan ICT ini (Norasiah et. al., 2009).  Sebagaimana ICT mempunyai kelemahan bagi pihak guru, ia tidak terkecuali bagi murid.  Menurut Jamalludin dan Dr. Zaidatun (2003), sifat ICT yang terlalu fleksibel menjadi satu daripada kelemhannya terhadap murid terutamanya yang mempunyai disiplin diri yang kurang dalam P&P.  Murid seperti ini akan mudah hilang dan sesat dalam kepesatan ICT sekiranya tidak dipantau secara betul.

Negara turut menerima kebaikan dan kekurangan daripada pengaplikasian ICT ini.  Antara kebaikan yang dapat diperoleh adalah bertambahnya tenaga kerja yang mahir dalam bidang ICT dek kerana generasi hari ini yang bakal mencorak masa depan negara didedahkan dengan elemen penting yang menjadi tuntutan pada masa hadapan.  Selain daripada itu, ia juga dapat membantu Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 berdasarkan hasrat yang digariskan dalam Wawasan 2020.  Namun sekiranya penggunaan ICT dalam bidang pendidikan ini tidak dibawa sebaiknya, negara ini akan turut menerima natijahnya.  Penyalahgunaan ICT yang membawa kepada kemasukan hedonisme negatif ke dalam diri murid-murid akan menyebabkan rosaknya generasi yang bakal memajukan Malaysia.

Penggubalan kurikulum yang merupakan satu daripada mekanisme yang disenaraikan juga memberikan kelebihan dan kekurangan pelaksanaannya terhadap guru.  Ia juga turut memberikan implikasi kepada murid dan negara sebagaimana penggunaan ICT.  Satu daripada kelebihan yang dapat diperolehi oleh guru cemerlang mahupun guru lain dalam mengaplikasikannya adalah dapat melahirkan guru biasa yang kreatif.  Ini adalah kerana guru terbabit akan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dalam usaha menyampaikan isi pengajaran secara berkesan.  Ini termasuklah penggunaan ICT di mana melalui kurikulum yang bercorakkan kurikulum abad 21 menekankan proses P&P yang menjadikannya sebagai satu daripada pemacu dan alat bagi mendapatkan impak yang berkesan pembinaan komuniti pada masa hadapan (Pendidik Mei, 2009).  Selain daripada itu, ia juga membantu guru cemerlang dalam melaksanakan P&P berlaku walaupun mereka tiada di dalam kelas dek kerana lambakan komitmen lain yang perlu diutamakan.  Caranya adalah guru menyediakan tugasan kepada murid melalui atas talian yang memerlukan mereka mencari maklumat, melakukan tugasan tersebut dan menghantarnya secara atas talian.  Ia seharusnya tidak memberikan masalah untuk dilaksanakan memandangkan pihak berwajib telah menyediakan kemudahan seperti makmal komputer, talian schoolNet dan pelbagai alatan ICT lain di sekolah-sekolah dalam usaha menuju ke arah kurikulum abad 21 (Pendidik, 2009).  Walaubagaimanapun, pelaksanaannya bukanlah semudah yang disangka.  Hal demikian disebabkan kelemahan yang ada.  Antaranya ia secara tidak langsung memberikan beban tugas yang lebih kepada para guru cemerlang dan guru biasa untuk melaksanakannya walhal kurikulum yang ada sebelum ini masih tidak dapat dijalankan sebaiknya dek kekangan semasa seperti fokus utama ibu bapa dan masyarakat yang hanya mementingkan kelulusan gred A murid berbanding penerapan aspek lain yang sepatutnya turut dititkberatkan (Ali Ab. Ghani, 2009).

Implikasi positif yang dapat diperolehi murid melalui penggubalan kurikulum ke arah kurikulum abad 21 antaranya adalah dapat memberikan pendedahan awal kepada mereka corak kehidupan yang semakin mementingkan ICT pada masa hadapan dan dalam masa yang sama mereka turut disediakan dari segi rohaniah dengan lebih mampan kerana tansformasi ini ke arah mendukung binaan fitrah insan murid itu sendiri (Prof. Dr. Sidek Baba, 2009). Ia sekaligus dapat memberikan kesan positif kepada negara dalam menghasilkan modal insan yang seimbang dalam pasaran kerja di samping memudahkan negara untuk mencapai status negara maju.

Namun, penggubalan kurikulum ini sebenarnya secara tidak langsung akan membebankan murid untuk mengikuti perubahan secara mendadak kerana mereka masih dibiasakan dengan pelaksanaan kurikulum yang lama.  Justeru, ia memberikan beban tugas yang banyak kepada guru terutamanya guru cemerlang untuk memastikan murid-murid ini dapat disediakan dengan perubahan yang berlaku.  Sekiranya murid-murid generasi hari ini tidak dapat mengikut transformasi ini, ia bakal memberikan impak negatif kepada negara antaranya adalah hasrat Wawasan 2020 untuk menjadi negara maju berekonomi pendapatan tinggi dan modal insan berdaya saing akan terkubur begitu sahaja.

Penerapan pemikiran yang analitis, kritis, kreatif dan invosi juga memberikan banyak kebaikan kepada para guru dan murid seterunya dapat menyumbang ke arah kemajuan negara.  Sebagaimana yang dikatakan Haji Zainal (2008) pada perbincangan sebelum ini, pemikiran-pemikiran ini perlu dikuasai terlebih dahulu oleh para guru cemerlang dan guru lain sebelum diterapkan ke dalam diri murid.  Ia dapat membantu golongan insan guru untuk menghasilkan bahan sumber P&P yang sesuai dengan kehendak pada masa hadapan seterusnya dapat menjadikan murid menjadi generasi yang kreatif dan invovatif dalam persediaan menuju abad 21.  Selain daripada itu, ia juga dapat menggalakkan guru terutamanya guru cemerlang untuk menghasilkan sesuatu yang baru kepada murid-murid agar proses P&P lebih menarik dan berkesan (Zahri, 2009).   Ini secara tidak langsung akan membuatkan murid-murid generasi hari ini mendapat motivasi untuk mencuba menghasilkan sesuatu yang baru dalam P&P apabila guru memberikan projek untuk dilakukan mereka.  Sehubungan itu, negara turut mendapat kebaikan di mana terlahirnya para pendidik dan para pencorak masa depan negara yang sentiasa ingin membawa pembaharuan berguna kepada negara.

Walaupun begitu, dek kerana kewujudan kurikulum pendidikan kini yang masih kurang membawa ke arah pemikiran kritis, analitis, kreatif dan inovatif, adalah sukar untuk guru melaksanakannya di dalam proses P&P.  Guru terpaksa menggunakan masa yang ada sepenuhnya untuk memikirkan P&P yang kreatif dan inovatif ini sedangkan guru masih banyak beban tugas lain yang perlu diberi komitmen.  Ini menyebabkan para guru hanya kekal dengan kurikulum pendidikan yang ada dek kerana kekangan yang ada. dan secara tidak langsung memberikan kesan negatif kepada murid kerana mereka tidak dapat didedahkan oleh guru berkenaan pemikiran seperti ini.  Kesannya kepada negara, kurangnya tenaga kerja pada masa hadapan yang kreatif dan inovatif dalam membawa perubahan pada bidang pekerjaan yang diceburi mereka.

Dapat disimpulkan di sini bahawa tiada satu pun mekanisme yang boleh dijalankan guru cemerlang secara sempurna tanpa cacat cela dalam usaha menyediakan murid generasi kini memenuhi pasaran pekerjaan masa hadapan (Jamalludin & Dr. Zaidatun, 2003).  Walaubagaimanapun, sebagai warga pendidik yang diberikan kepercayaan dan amanah guru cemerlang seharusnya bijak memilih setiap kelebihan yang terdapat pada mekanisme yang ada untuk diserap ke dalam P&P dan berusaha mengurangkan kelemahan yang wujud daripadanya.

4.0  Cadangan dan Rumusan

Berdasarkan perbincangan di atas, terdapat beberapa cadangan yang dapat dinyatakan dalam usaha guru cemerlang memikirkan cara untuk mempersiapkan murid-murid  zaman ini memenuhi tenaga kerja pada masa hadapan.  Antaranya adalah dengan menggunakan ICT dalam proses P&P sebagaimana yang dinyatakan Sufean (2002) agar dapat membiasakan murid dengan cara tersebut.  Biarpun ia memerlukan masa dan tenaga yang lebih daripada guru ini untuk menghasilkan P&P berbantukan ICT yang berkualiti namun guru perlu sentiasa memikirkan bahawa semengnya sudah menjadi tanggungjawab guru untuk menyediakan murid-muridnya dengan pendidikan yang seiring dengan zaman mereka membesar.

Selain daripada itu, saya juga berpendapat penggubalan atau transformasi pendidikan juga wajar untuk dilaksanakan memandangkan Malaysia kini semakin ke arah negara maju yang memerlukan kurikulum bercorakkan abad 21.  Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Bakar dan Ikhsan (2003) serta Norasiah et. al. (2009) di mana Malaysia kini semakin memerlukan sistem pendidikan yang dapat menyediakan generasi hari ini dengan cabaran dan dugaan serta pasaran pekerjaan pada masa hadapan.

Di samping itu, saya juga merasakan bahawa golongan guru cemerlang juga harus menyambut seruan pihak kerajaan yang menyeru ke arah melahirkan murid yang kreatif dan inovatif.  Walaupun ia bukanlah tugas guru cemerlang semata-mata, namun sebagai contoh teladan bagi guru lain, guru cemerlang perlu memulakan dan menunjukkan usaha ke arahnya terlebih dahulu.  Dengan ini,ia secara tidak langsung memotivasikan guru-guru lain untuk mengikut langkah yang ditunjukkan.

Kesimpulannya, bukanlah suatu yang mustahil untuk mekanisme-mekanisme ini dilaksanakan.  Ini adalah kerana pihak kerajaan turut merancang inisiatif bagi membantu golongan guru cemerlang ini menjadikan pendidikan di Malaysia ke arah pendidikan bertaraf dunia sekaligus memastikan generasi muda zaman ini dapat dilengkapkan dengan keilmuan yang mampu membantu mereka memenuhi permintaan pekerjaan dan menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Cabaran yang mendatang pada abad 21 menuntut penggembelengan tenaga daripada seluruh pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan bagi memastikan pendidikan di negara ini dapat terus maju dan mencapai hasrat Wawasan 2020 yang dicita-citakan negara.  Janganlah hanya diletakkan atas pundak guru cemerlang semata-mata kerana guru lain sebagai warga pendidik sudah termaktub khidmatnya untuk memastikan murid-muridnya menikmati kehidupan mereka pada masa akan datang.
 
RUJUKAN

BUKU
Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman.  (2003).  Falsafah Pendidikan dan Kurikulum.  Perak : Quantum Books.
Esah Sulaiman.  (2003).  Amalan Profesionalisme Perguruan.  Johor : Universiti Teknologi Malaysia.
Haji Zainal Haji Buang.  (2008).  Guru Bestari Pelajar Jauhari.  Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publication.
Jamalludin Harun dan Dr. Zaidatun Tasir.  (2003).  Multimedia dalam Pendidikan.  Pahang : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Bahasa dan Pustakan.  (Edisi Keempat).  (2007).  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahdi Shuid et. al.  (2010).  Pendidikan Negara Bangsa Malaysia.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Norasiah Abdullah, Nor Risah Jamilah Mat Lazim & Rosmah Ahmad Zain.  (2009).  Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid.  (2010).  Guru dan Cabaran Semasa.  Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Sufean Hussin.  (2002).  Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia; Teori dan Analisis.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon.  (2010).  Asas Kepimpinan & Perkembangan Profesional.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.


MAJALAH
___ . (2009).  Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21.  Pendidik Mei 2009, 55-56.
Ali Ab. Ghani.  (2009).  6 Tunjang Transformasi Kurikulum Kebangsaan.  Pendidik April 2009, 22-25.
Hassan Hashim, Datuk.  (2009).  Guru Cemerlang Pengaruhi Suasana Sekolah.  Pendidik Mac 2009, 63-65.
Sidek Baba, Prof. Dr.  (2009).  Sistem Pendidikan Negara Perlu Transformatif.  Pendidik April 2009, 56-57.
Sidek Baba, Prof. Dr.  (2009).  Industri Pendidikan Perlu Transformasi Pengajaran dan Pembelajaran.  Pendidik Mei 2009, 61-63.
Srihanasham Noordin.  (2009).  Pendidikan dalam ICT Perlukan Komitmen Guru.  Pendidik Mei 2009, 14-15.
Zahri Ramlan.  (2009).  Guru Inovatif Didik Pelajar Alaf Kini.  Pendidik Mac 2009, 50-53.


LAMAN WEB
Arkib Berita Harian.  (2010).  Teks Ucapan Pembentangan RMK-10.  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TeksUcapanPembentanganRMKe-10/Article.  Dilayari pada 15 Ogos 2012.
Arkib Utusan Online.  (2008).  Ucapan PM Membentangnkan Usul Kajian Separuh Penggal RMK-9.  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm.  Dilayari pada 14 Ogos 2012.
Kementerian Pelajaran Malaysia.  (2011).  Haluan Kerja Pendidikan.  http://bibliografi.moe.edu.my/SumberPendidikan/images/macam_macam_ada/haluan_kerja_pendidikan.pdf.  Dilayari pada 16 Ogos 2012.
Kementerian Pelajaran Malaysia, Portal Rasmi.  (__).  Definisi Guru Cemerlang.  http://www.moe.gov.my/?id=36.  Dilayari pada 16 Ogos 2012.
PPD Hulu Langat.  (2011).  Guru Cemerlang.   http://www.ppdhl.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=399:guru-cemerlang&catid=9:bahan-guru&Itemid=79.  Dilayari pada  14 Ogos 2012.
Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia.  (2012).  Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012.  http://buletinkpm.blogspot.com/.  Dilayari pada 16 Ogos 2012.
Utusan Malaysia Online.  (2012).  Guru Cemerlang Mesti Fikirkan Mekanisme.  http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120713/dn_02/Guru-cemerlang-mesti-fikirkan-mekanisme.  Dilayari pada 02 Ogos 2012.


.:: SAHABAT SEPERJUANGAN ::.

.:: SAHABAT SEPERJUANGAN ::.
~Abadikan Kenangan Kita di Hati~